Antara cabaran apabila memulakan senaman setelah rehat yang panjang ialah sakit badan. Kalau dalam bahasa saintifiknya ialah "delayed onset muscle soreness (DOMS)". Kalau dalam bahasa kita, sakit badan atau otot selepas bersenam. Sepanjang pengalaman aku bersenam selama beberapa bulan ni, kadang kala rehat dan malas-malas, bila nak start semula bersenam kena jangka perkara seperti ini akan berlaku.
Aku teringat pepatah omputeh "No Pain No Gain". Ada benarnya bila dikaitkan dengan senaman. Sakit badan ni sebenarnya adalah 'nikmat' bagi diri aku. Walaupun ikhlas aku katakan, aku tidak suka sakit badan. Aku suka bersenam waktu malam dalam pukul 9-10 malam. Sebab waktu siang aku balik lewat dari kerja. Siang-siang nak bersenam agak malas sedikit, kerana waktu petang aku agak lapar dan letih, biasanya aku malam dahulu sebelum bersenam.
Sakit badan selepas bersenam jangan pula tersilap dengan kekejangan sewaktu bersenam atau "cramp". Yang tu adalah sangat berbeza dengan sakit badan selepas bersenam. Ok, kat sini aku nak terangkan secara ringkas pasal DOMS atau sakit badan ni:
Bilakah ianya berlaku:
Biasanya ia berlaku selepas 12 jam selesai membuat senaman. Ianya tidak berlaku sewaktu membuat senaman, bahkan aku tidak rasa sakit apa-apa pun kat badan setelah selesai membuat senaman. Sakit akan mula dirasai selepas 12 dan akan berakhir 2-5 hari bergantung kepada ketahanan kita. Kalau yang newbie baru nak start sentuh dumbbell tu, biasanya akan terjelepek kat atas katil laa selama 5 hari. Paling lama sakit badan aku rasai ialah hampir 4 hari, dan paling singkat ialah 1 hari sahaja.
Kenapakah ia berlaku:
Ianya dipercayai akibat koyakan kecil dan sangat halus (mikroskopik) pada otot kita. Koyakan itu akan diperbaiki oleh sistem tubuh kita dan apabila kita sudah sembuh, otot kita akan semakin kuat dan besar. Alaaa, macam cerita dragon ball laa, Son Goku, kalau training lagi kuat dan sembuh dari kecederaan ia akan menjadi semakin kuat dan hebat. Mujur tak bertukar jadi gorilla ajolah hahahahaha.
Apakah ianya bermanfaat:
Sebenarnya DOMS atau sakit badan selepas bersenam ini bermanfaat kerana otot kita akan mengalami adaptasi dan akan bertambah kuat. Jangan jadikan alasan sakit badan ini sebagai sebab untuk tidak meneruskan senaman, kerana manfaatnya sangat besar.
Apa beza sakit badan dan kekejangan atau kecederaan yang lain.
Biasanya kekejangan, kecederaan ligamen putus urat, patah tulang; sakit yang datang adalah SEWAKTU senaman berlaku, ianya akibat dari postur atau teknik senaman yang salah. Faktor lain berlakunya kecederaan ini ialah kerana terlebih ego nak angkat berkilo-kilo sedangkan baru hari pertama sentuh dumbbell. Aku pernah mengalami sakit bahu sampai takleh nak ikat kain pelikat sebab ego sangat nak angkat berat melebihi dari sepatutnya. Selepas itu taubat dah, start slow-slow, yang penting jangan cedera, nanti susah nak bersenam semula.
Adakah warm up dapat mengurangkan sakit badan
Warm up dapat mengelakkan risiko kecederaan. Tetapi DOMS atau sakit badan selepas bersenam tidak dapat dielakkan, kecuali kita buat senaman yang tidak meletihkan, tidak lapar dan dahaga iaitu senaman mulut (mengumpat).
Apakah rawatan
Setakat aku baca, kalau tak tahan sangat sakit badan, digalakkan ambil panadol ajo. Cara lain ialah urut dengan minyak angin, letak ais. Tapi sepanjang pengalaman aku, isteri aku ajo yang tolong urut. Kalau aku balik rumah mertua, ada kerusi urut, tumpang sekaki kat situ. Elakkan mengambil ubat NSAID kerana ia akan menyebabkan penyembuhan otot terbantut dan tidak menjadi kuat. Ada juga aku terbaca boleh guna 'roller foam'. Tapi aku rasa tak perlu pun, picit-picit ajo dengan tangan, sehari dua settle la sakit.
Kesimpulannya, sakit badan selepas bersenam ni bagus hehehehe, sebab ia membuktikan senaman kita tu adalah berhasil, dan yang pasti tubuh kita menjadi semakin kuat selepas ia sembuh. Ada orang kata ianya menyumbang kepada afterburn effect dimana pembakaran lemak akan berlaku sepanjang otot kita sakit tu. Wow! itu membuatkan aku lebih teruja untuk bersenam.
No comments:
Post a Comment